Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membidas kenyataan yang mendakwa kononnya sokongan beliau terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah bertujuan menyelamatkan dirinya daripada siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Jelasnya, beliau tidak sedikit pun gentar jika ditangkap sekiranya benar terlibat dengan kes kerugian dalam perdagangan mata wang asing Bank Negara Malaysia pada 1990-an seperti yang didakwa pihak tertentu.

"Walaupun badan tertentu ditubuh, kononnya untuk dikaji kesalahan pemimpin dahulu, kononnya nak tangap orang ini, kerana orang ini takut, kononnya saya mula berbaik dengan Anwar kerana takut ditangkap.

"Saya bukan kerjasama dengan Anwar pasal masalah peribadi saya," kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (PPBM) itu sambil menambah, kerjasamanya dengan bekas ketua pembangkang itu hanya untuk "menyelamatkan negara."

Beliau ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PPBM di Tanjung Kling, Melaka, malam tadi yang turut dihadiri Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Majlis yang dihadiri lebih 20,000 pengunjung itu turut menyaksikan upacara pemotongan kek sempena hari ulang tahun kelahiran Dr Mahathir yang ke-92 hari ini.

Baru-baru ini, Dr Mahathir selaku individu yang menyekat perjalanan politik Anwar setelah memecatnya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1998 lalu, menyatakan sokongan beliau kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri sekiranya mendapat pengampunan diraja.