Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson tiba di Malaysia pada 6:50 petang yang disambut oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Duta Besar Amerika Syarikat, Kamala Shirin Lakhdir.

Pesawat rasmi kerajaan AS yang membawa beliau mendarat di Pangakalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 6:50 petang dalam cuaca mendung.

Ini merupakan lawatan sulung Tillerson ke Malaysia sejak dilantik sebagai Setiausaha Negara pada 1 Februari lalu.

Ketibaan beliau mencerminkan keteguhan komitmen Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dengan Malaysia.

Tahap keselamatan bagi menyambut ketibaan Setiausaha Negara Amerika Syarikat di Pangkalan TUDM diperketatkan dengan wakil media yang menunggu Tillerson, dua jam lebih awal dari masa ketibaan, menjalani tiga tahap pemeriksaan identiti.

Ia merupakan prosedur biasa yang diamalkan Amerika Syarikat bagi tujuan keselamatan pegawai tinggi kerajaannya.

Sebaik turun dari pesawat, Tillerson kelihaan bersalaman dengan mereka yang menunggu ketibaannya sebelum meneruskan perjalanan ke Parlimen untuk sesi pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tillerson dijadual mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen pada Rabu.

Malaysia dan Amerika mempunyai hubungan rapat dan menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang.

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2017, jumlah dagangan dua hala antara kedua-dua negara meningkat 23.3 peratus kepada RM68.2 bilion (US$15.4 bilion) daripada RM55.3 bilion (US$13.5 bilion) dalam tempoh sama pada 2016.

Sebelum ini, Tillerson juga melakukan lawatan ke Filipina dan Thailand dalam siri lawatannya bagi mengesahkan komitmen pentadbiran untuk terus meluaskan dan mengukuhkan kepentingan ekonomi dan keselamatan AS di rantau Asia Pasifik.