Harga runcit petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 13 sehingga 19 April ini, kekal seperti minggu lepas.

Bagaimanapun, harga runcit petrol RON97 naik sebanyak 5 sen seliter, iaitu daripada RM2.63 seliter kepada RM2.68 seliter.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata, harga runcit petrol RON95 kekal pada RM2.08 seliter dan diesel kekal pada RM2.18 seliter.

Harga runcit produk petroleum ditetapkan secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).

"Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 13 sehingga 19 April 2019 sepatutnya adalah sebanyak RM2.38 seliter dan RM2.39 seliter masing-masing.

"Namun, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh di atas adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter.

"Ini selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat," kata kenyataan itu.