Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 bagi menangani kesalahan jenayah seksual kanak-kanak secara holistik dan komprehensif, akan dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat minggu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata beliau yakin RUU itu akan mendapat sokongan semua anggota Parlimen dan seterusnya dapat diluluskan awal bulan depan.

"Esok Jemaah Menteri akan melihat rang undang-undang itu sebelum dibacakan buat kali pertama pada Isnin atau Selasa depan.

"Saya harap RUU ini akan jadi kenyataan sebagai menzahirkan tanggungjawab kita sebagai anggota Parlimen kepada rakyat terutamanya golongan kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi Jabatan Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, pada Khamis.

Ketika merasmikan Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak: Hentikan!!! di Pusat Dagangan Dunia Putra baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan mewujudkan undang-undang baharu bagi menangani jenayah itu.

Azalina yang juga anggota Parlimen Pengerang berkata usaha murni kerajaan itu dapat memantapkan undang-undang sedia ada bagi membanteras jenayah seksual kanak-kanak di negara ini.

"Insyallah pada sambutan Hari Wanita tahun ini, kita akan ada undang-undang baharu yang melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual," katanya.

Dalam pada itu Azalina berharap Jawatankuasa Bertindak Berkaitan Jenayah Seksual Kanak-kanak yang diumumkan penubuhannya Najib tahun lepas, akan menjadi platform kepada pelbagai agensi untuk berkongsi kepakaran dalam merangka strategi terbaik menangani jenayah itu.

"Jawatankusa Bertindak yang dipengerusikan saya itu ditubuhkan bagi mengkaji dan meneliti pelbagai isu berkaitan jenayah kanak-kanak. Mesyuarat pertama diadakan 6 Sept lepas dan dua komponen utama pembanterasan jenayah itu berjaya direalisasikan," katanya.

Mengenai kajian bagi meneliti isu undang-undang dan dasar hukuman mati, Azalina berkata laporan kajian tersebut telah dibentangkan ke Kabinet baru-baru ini.

Katanya Kabinet memutuskan Akta Dadah Berbahaya 1952 dikaji semula bagi memberi ruang budi bicara kepada hakim dalam menjatuhkan hukuman dengan menetapkan hukuman yang bersesuaian khususnya ke atas kes marginal.

"Jemaah Menteri bersetuju memasukkan peruntukan tambahan bagi memberi kuasa kepada mahkamah menjatuhkan hukuman selain daripada hukuman mati mandatori dalam keadaan tertentu yang ditetapkan bagi kesalahan mengedar dadah di bawah Seksyen 39B akta berkenaan," katanya.

Tegasnya, setiap pelaksanaan perlu dibuat menerusi proses undang-undang memandangkan banyak negara lain telah membuat perubahan untuk melihat persepsi yang lebih terbuka.

Menurutnya, Amerika Syarikat, China, India, Singapura dan Thailand masih mengekalkan hukuman mati sebagai antara hukuman terhadap pesalah yang melakukan kesalahan serius.

-- BERNAMA