PUTRAJAYA: Kerajaan memberikan fokus untuk memastikan individu menghadapi masalah mental termasuk cubaan bunuh diri diberi rawatan berbanding menghukum, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata penghapusan Seksyen 309 Kanun Keseksaan berkaitan hukuman terhadap cubaan bunuh diri tahun lepas, memberi peluang baharu, di samping menggalakkan mereka yang cuba membunuh diri untuk dapatkan rawatan perubatan.

Katanya mereka tidak perlu lagi takut akan dikenakan tindakan jenayah ataupun dituduh, ditangkap, disiasat dan sebagainya sekiranya mereka membuat laporan.

"Ini menunjukkan bahawa kerajaan MADANI bergerak daripada mengambil cara punitif kepada cara rehabilitasi.

"Dekriminalisasi ke atas kesalahan cubaan membunuh diri adalah langkah kritikal yang telah diambil oleh kerajaan MADANI dalam usaha untuk mencegah bunuh diri," katanya.

Teks amanat beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M.Kula Segaran pada program Webinar Sinar Ramadan bertajuk 'Dekriminalisasi Cubaan Bunuh Diri' hari ini.

Pada 22 Mei 2023, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-undang yang menghapuskan seksyen 309 Kanun Keseksaan, fasal yang menghukum cubaan membunuh diri dengan penjara sehingga setahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Azlina berkata tanpa ketakutan berhadapan tindakan undang-undang, individu-individu berkenaan mempunyai peluang yang lebih baik untuk mendapatkan rawatan.

"Ini sekali gus akan mengurangkan kes-kes cubaan membunuh diri pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata Kerajaan Perpaduan melalui Jabatan Bantuan Guaman (JBG) akan sentiasa melipat gandakan usaha pragmatik bukan setakat menyampaikan perkhidmatan yang biasanya diberikan, bahkan lebih lagi termasuk memberikan kesedaran kepada rakyat Malaysia berkenaan kesihatan mental.

-- BERNAMA