KUALA LUMPUR : Pembiaya litigasi pihak ketiga yang tidak beretika berpotensi membawa ancaman serius terhadap kedaulatan dan negara.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, tanpa kawal selia dan sistem pemantauan yang kukuh, tindakan oleh pihak tidak beretika ini boleh menggugat keselamatan sesebuah negara.

"Meskipun peranan mereka dalam membantu pihak-pihak yang tidak mampu mendapatkan keadilan tidak boleh dinafikan.

"Namun ketidakwujudan suatu kerangka kawalan yang membolehkan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengeksploitasi tuntutan perundangan yang remeh ataupun palsu, terutamanya yang melibatkan pihak yang terdiri daripada negara berdaulat, demi kepentingan dan keuntungan semata-mata bagi suatu pihak merupakan penyalahgunaan sistem perundangan.

"Tindakan ini bukan sahaja menggugat integriti sistem perundangan, tetapi juga boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat dan negara secara keseluruhan," katanya menerusi perkongsian terbaharu di platform X pada Rabu.


Justeru itu jelasnya, kawal selia yang ketat adalah wajar diwujudkan dalam memastikan kepentingan sesebuah negara dan rakyatnya sentiasa dipelihara.

"Dalam hal ini juga, saya akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 bacaan kali kedua pada 18 Mac ini di Dewan Rakyat.

"RUU yang akan diperkenalkan buat kali pertama dalam sejarah Malaysia ini akan menerima pakai undang-undang adat antarabangsa (customary international law)," katanya.


29 November lalu, RUU tersebut dibentangkan buat pertama kali yang antara lain bertujuan mengawal selia kekebalan yang diberi kepada sesebuah negara asing dan hartanya, ketua negara dan ketua kerajaan daripada bidang kuasa mahkamah Malaysia.

Akta itu juga bertujuan tiada tindakan praperbicaraan boleh dibawa, dimulakan atau dikekal terhadap harta sesebuah negara di hadapan mana-mana mahkamah, kecuali jika negara berkenaan bersetuju dengan pengambilan tindakan itu sebagaimana diperuntukkan dalam perjanjian antarabangsa.

Ia termasuk sebarang perjanjian timbang tara atau dalam kontrak bertulis, pengisytiharan di hadapan mahkamah, komunikasi bertulis selepas pertikaian antara pihak timbul atau negara berkenaan sudah memperuntukkan harta itu bagi menunaikan tuntutan yang menjadi matlamat prosiding.