Gara-gara mengesyaki isterinya curang, seorang lelaki bertindak memukul isteri hingga cedera dalam kejadian di rumah mereka dekat Penaga, Pulau Pinang.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi Selasa, lelaki berusia 31 tahun itu memukul kepala wanita itu dengan sebilah pisau dan mukanya pula ditampar hingga lebam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata, ibu kepada empat anak itu mendakwa suaminya itu bertindak sedemikian selepas menuduh dirinya meniduri lelaki lain hingga menyebabkan dia dipukul.

Susulan laporan polis yang dibuat wanita itu polis menahan lelaki yang bekerja sebagai buruh yang melarikan diri selepas kejadian berkenaan.

Dia kini direman sehingga 20 Januari ini untuk siasatan lanjut.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta ugutan jenayah.