Sarawak mencatatkan satu lagi kes kematian terbaharu COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kematian di negeri itu kepada lapan kematian setakat ini.

Pengumuman dibuat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menerusi sidang media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di Kuching pada Selasa.

Mangsa berusia 40 tahun yang merupakan seorang pensyarah di sebuah Institut Pengajian Tinggi di Kota Samarahan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak.

Menerusi sidang media sama, Dr Sim menambah bahawa dua kes kematian pada Isnin melibatkan seorang lelaki berusia 47 tahun di Kuching dan seorang wanita berusia 41 tahun di Miri masih disiasat.

“Ketika ini kita mendapati terdapat kluster baru selain daripada lima kluster yang telah diumumkan Jabatan Kesihatan,” katanya.

Sementara itu Sarawak turut mencatatkan 21 kes positif terbaharu COVID-19 menjadikan jumlah kes positif keseluruhan setakat ini kepada 156 kes.

20 kes terbaharu ini dirawat di Hospital Umum Sarawak manakala satu lagi di Hospital Sibu.

Antara lain JPBN Sarawak juga akan membangunkan lebih banyak pusat kuarantin COVID-19 di Kuching.

Bagi tujuan itu Institut Latihan Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan Aminuddin Baki, Akademi Lembaga Hasil Dalam Negeri serta Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia Kuching dicadangkan untuk menyediakan pusat kuarantin jika terdapat pertambahan kes positif COVID-19.