Semua sekolah di negeri Selangor sentiasa diminta memantau aktiviti pelajar bagi memastikan mereka tidak terpengaruh dengan elemen negatif termasuk menyertai perjuangan kumpulan militan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Zainuren Mohd Nor berkata pihaknya turut bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengekang sebarang penyebaran fahaman ekstremisme dalam kalangan pelajar.

"Buat masa ini tiada pelajar sekolah di bawah kelolaan kami mahupun di bawah seliaan jabatan agama negeri ini yang terlibat dalam kegiatan militan seperti itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan seorang pelajar perempuan dari sebuah institut tahfiz di sini yang ditahan polis Selasa lepas kerana dikatakan cuba menyertai jihad kumpulan militan IS di Syria.

Pelajar berusia 14 tahun yang berasal dari Muar, Johor itu dipercayai terpengaruh selepas berinteraksi melalui Facebook dengan dua individu yang cuba mempengaruhi pelajar itu menyertai kumpulan pengganas di negara itu.

Zainuren berkata sekolah dan institusi pendidikan seharusnya mengambil langkah proaktif dan berjaga-jaga terhadap tindakan agresif kumpulan militan yang cuba mempengaruhi pelajar melalui laman sosial Facebook.

"Kemungkinan pelajar yang ditahan itu dari sekolah persendirian...kita berharap penyelia dan pengetua sekolah dan mana-mana institusi pendidikan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap perkara ini," katanya.