VIRAL di media sosial baru-baru ini tindakan seorang lelaki yang berani membantu seorang wanita dan anak perempuannya daripada menjadi mangsa sekumpulan penyamun ketika menaiki kereta api KTM Komuter.

Mangsa, Reena Peter berkongsi kisah penyelamat tersebut menerusi laman Facebooknya dan ia sekali gus menjadi viral di media sosial.

Menurut Reena Peter, dia telah dikacau oleh sekumpulan penyamun ketika sedang menaiki kereta api komuter ke KL Sentral pada petang Sabtu.

“Oleh kerana keadaan komuter pada masa itu kosong, kumpulan tersebut mengambil kesempatan untuk mengganggu saya dan anak saya,” tulis Reena.

Difahamkan, mereka cuba menyamun Reena dan anaknya dengan meminta mereka mengeluarkan telefon bimbit serta wang yang dimiliki.

Bagaimanapun, perbuatan sekumpulan penyamun itu gagal apabila seorang lelaki yang juga merupakan salah seorang penumpang tren itu tampil membantu mereka.

Menurut Reena, lelaki berkenaan terpaksa bergelut dengan ketua kumpulan tersebut demi membantu mereka, dan akhirnya kumpulan itu melarikan diri sejurus komuter tiba di stesen berikutnya.

Walaupun bersyukur, Reena menyesal kerana tidak sempat mengucapkan terima kasih kepada ‘hero’ itu.

“Saya dan anak saya yang masih dalam keadaan terkejut tidak sempat mengucapkan terima kasih kepada hero itu.

“Tetapi anak saya mempunyai gambar penyelamat itu di telefonnya,” tambah Reena.

Dengan berkongsi rakaman gambar penyelamat itu, Reena meminta orang ramai untuk menyampai ucapan terima kasih keluarganya jika sesiapa mengenali lelaki berkenaan.

Pengguna media sosial kemudian mengambil laman sosial mereka untuk memuji keberanian lelaki tersebut.

"Kita perlukan lebih banyak insan yang baik hati seperti beliau," kata seorang pengguna, Terrence.

"Saya tabik atas keberanian lelaki itu," kata Vishva.

Namun, ada juga yang mempersoal keselamatan pengguna di stesen kereta api.

"Penduduk tempatan tidak selamat dalam kereta api walaupun ada pemasangan kamera CCTV. Ini keadaan negara kita. Apakah tindak balas polis mengenai perkara ini?" soal William Liew.