Semua kartunis diminta menghormati sensiviti agama ketika berkarya dan mengambil iktibar daripada insiden serangan ke atas pejabat akhbar satirikal Perancis, Charlie Hebdo.

Kartunis Ujang atau nama sebenarnya Ibrahim Anon berkata, ia dilihat sebagai amaran kepada semua kartunis di seluruh dunia untuk berhati-hati dan peka dengan isu itu, terutamanya yang menyentuh isu agama.

"Ini warning (amaran) jelas kepada kartunis sendiri. Perkara ini bukan baru berlaku namun sudah lama disedari dan tidak harus diambil remeh.

"Jangan 'main api' dengan perkara agama, apa yang berlaku di Paris itu harus dijadikan teladan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Polis Perancis pada Khamis juga telah menyiarkan gambar dua beradik yang didakwa terbabit dalam insiden serangan yang meragut 12 nyawa di Paris itu.

Polis telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Cherif Kouach, 32 tahun, dan abangnya Said, 34 tahun, selain merayu maklumat dari orang ramai bagi membolehkan dua beradik tersebut dikesan.

Dalam pada itu, kata Ujang, kartunis juga diharap melukis dan menyalurkan idea lukisan mereka berbentuk humor sosial dan kemasyarakatan.

"Banyak isu lain yang boleh dibuat selain agama, mereka (kartunis) boleh melukis dan berjenaka mengenai kehidupan sehari-hari, budaya masyarakat dan pelbagai lagi dengan syarat tidak melanggar adab dan batas," tegasnya.

Pada 2012, Charlie Hebdo pernah menerbitkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW sekali gus memburukkan lagi ketegangan global berhubung filem "The Innocence of Muslims" yang memperlekehkan agama Islam.

Perkembangan tersebut menyebabkan Perancis meningkatkan kawalan keselamatan di semua kedutaan negara itu.

Karikatur biadap itu disiarkan beberapa hari selepas bantahan ganas tercetus dari Benua Asia hingga ke Afrika kerana memprotes filem "The Innocence of Muslims".

Ujang merupakan salah seorang kartunis senior negara dan mencipta nama di majalah 'Gila-Gila' dengan kartun 'Si Tenggang'.

Ujang membuktikan kegigihannya melalui watak-watak yang diciptanya melalui pengamatan dunia kelilingnya.

Watak-watak dalam dirinya diterjemahkan dalam bentuk visual antaranya seperti 'Aku Budak Minang', 'Jibam', 'Aca' dan 'Atuk'.


Arif Rafhan
Lukisan kartun hasil karya Arif Rafhan yang menggambarkan insiden serangan maut di ibu pejabat akhbar satirikal Charlie Hebdo di Perancis. - Arif Rafhan Othman


Sementara itu, seorang lagi kartunis tanahair, Arif Rafhan Othman, 37, berkata walaupun kebanyakan orang tidak bersetuju dengan hasil karya Charlie Hebdo yang sering memperlekehkan isu agama, mereka perlu menghormati kebebasan bersuara yang dipraktikkan oleh kerajaan Perancis.

"Balas balik karya dengan karya, gunakan pen dan kertas, bukan dengan membunuh orang.

"Sebagai seorang kartunis, pandangan kami adalah berbeza. Bagaimana kami menilai sesuatu isu bergantung kepada persekitaran dan budaya kita," katanya kepada Astro AWANI.

"Saya secara peribadi tidak akan menghasilkan karya yang bertujuan menyakiti sesiapa atau berunsur negatif, tetapi ada mereka yang melakukannya. Sekiranya ia harus dilakukan juga, lakukannya secara intelektual dan konstruktif," tambahnya.

Antara hasil karya beliau, yang telah berkecimpung dalam bidang itu selama 12 tahun, termasuk novel grafik "Adventures of a KL-lite in Afghanistan" dan "Imaginary Friends: 26 Fables for the Kid in US".

Sementara itu, kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkifli Anwar Ul-Haq dalam satu kenyataan berkata, serangan tersebut merupakan tindakan ganas yang 'gila, tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan'.

Jelasnya, tindakan itu, bukan cara untuk menyatakan rasa tidak bersetuju dengan kartun satira yang didakwa mempersendakan islam.

"Pendirian saya adalah jelas, setiap kartunis mesti dibenarkan untuk mengkritik melalui karya mereka.

"Sebarang ketidakpuasan atau bantahan mengenai kandungan karya-karya tersebut mestilah dijawab melalui perbincangan, perdebatan dan cara-cara yang bertamadun.

"Walau pun kita mungkin tidak bersetuju dengan sesebuah karya kartun, kita sepatutnya menghormati hak kartunis untuk memberi pandangan melalui lukisan mereka," jelasnya.