Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memanggil mana-mana ahli politik dibuat bagi melengkapkan siasatan dan ia dibuat mengikut garis panduan berdasarkan undang-undang sedia ada.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan itu tidak seharusnya dilihat sebagai mempunyai agenda atau motif politik.

Beliau memberi contoh kes membabitkan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh yang dipanggil ke Bukit Aman selepas terdapat laporan yang mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan yang mungkin dianggap menghasut.

"Tindakan kami adalah berdasarkan undang-undang dan laporan seorang individu mendakwa beliau (Hannah Yeoh) mengeluarkan kenyataan yang mungkin dianggap menghasut, jadi kami harus siasat bagi menentukan sama ada ia benar atau tidak," katanya seperti dilapor Berita Harian Online.

Kata Abdul Hamid, pegawai penyiasat tidak mempunyai kaedah lain kecuali memanggil Yeoh ke Bukit Aman untuk membantu siasatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ada.

Malah Hannah Yeoh, kata beliau, berpeluang menjelaskan keadaan sebenar berhubung dakwaan terhadap dirinya apabila dipanggil untuk proses merakam percakapan.

Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu dipanggil bagi memberi keterangan selepas mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur.

Polis juga memanggil bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk direkodkan keterangan berhubung temu bual beliau dalam saluran berita antarabangsa, Al Jazeera pada 6 Mac lalu yang didakwa berunsur hasutan.

Tambah Abdul Hamid, jika polis mendapati ada elemen unsur fitnah terhadap Ahli Parlimen Segambut itu dengan tujuan tidak baik, pihaknya diberikan kuasa untuk menyiasat pihak bertanggungjawab.