Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengesan beberapa sindiket perjudian yang cuba mempengaruhi keputusan pengundian Pilihan Raya Ke-14 (PRU14) yang sedang berlangsung.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata sindiket dipercayai menggunakan persaingan calon-calon yang bertanding dan keputusan pilihan raya nanti sebagai tiket perjudian.

Namun sehingga kini masih belum ada tangkapan yang dibuat meskipun pihak polis telah menjejaki beberapa cubaan untuk mengatur perjudian PRU14 di negeri besar seperti Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Susulan itu PDRM telah menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau kegiatan perjudian sepanjang tempoh pilihan raya ini.

“Kita dapat maklumat, aduan daripada masyarakat tentang wujudnya sindiket perjudian dalam pilihan raya ini dan kita amat peka sebab ia boleh menyebabkan satu keadaan yang tidak baik untuk sistem demokrasi,” kata Noor Rashid pada sidang media selepas menghadiri Program High Profile Policing di Pokok Sena, Kedah siang tadi.

Beliau berkata mereka yang terlibat dalam kegiatan haram itu berdepan tindakan menurut Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017.

Selain itu, beliau turut menasihat agar tidak ada sebarang masalah yang ditimbulkan menjelang pilihan raya ini serta menghormati undang-undang yang telah ditetapkan.

Noor Rashid juga mengingatkan semua pihak termasuk calon yang bertanding agar mematuhi undang-undang pada hari-hari terakhir kempen sebelum pengundian pada Rabu ini.

"Elakkanlah perbuatan memfitnah dan menyebarkan sebarang berita palsu kerana polis juga diberi tanggungjawab menguatkuasakan kesalahan itu mengikut Akta Anti Berita Tidak Benar 2018, kerana fitnah ini boleh jejaskan keharmonian serta timbulkan pergaduhan," katanya.