Keupayaan dan daya tahan Malaysia dalam menangani cabaran serta ketidaktentuan pasaran global kekal teguh, disokong oleh asas ekonomi domestik yang kukuh serta kepelbagaian dan kemajuan pasaran kewangan.

Kelebihan itu dapat meningkatkan keupayaan sistem kewangan untuk menyerap aliran keluar masuk modal dan memastikan aliran modal dapat dimanfaatkan secara berkesan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, menurut Laporan Ekonomi 2017/2018 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan.

Persekitaran ekonomi yang terbuka dan peningkatan kesalinghubungan dalam pasaran kewangan menyebabkan Malaysia tidak terkecuali daripada menerima kesan perubahan persekitaran monetari global.

"Sektor kewangan domestik terus menyediakan persekitaran yang kondusif untuk menggalakkan inovasi dalam industri kewangan.

"Dalam hal ini, rangka kerja kawal selia terus diperkukuh dengan mengamalkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik dalam menghadapi pasaran kewangan yang semakin kompleks," kata laporan tersebut.

Malaysia juga berada pada landasan yang teguh untuk terus menerajui industri kewangan Islam global dengan memanfaatkan kedudukan negara sebagai peneraju pasaran sukuk dan perintis produk inovatif.

Penunjuk dasar monetari kekal akomodatif di samping memastikan kestabilan harga walaupun terdapat ketidaktentuan persekitaran luaran.

Menurut laporan itu, ketidaktentuan ini termasuk jangkaan peningkatan jurang perbezaan dasar monetari antara Amerika Syarikat (AS) dan ekonomi utama lain yang menyebabkan keadaan pasaran kewangan menjadi lebih ketat.

Pada Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa, dasar monetari yang akomodatif diteruskan untuk mengimbangi risiko pertumbuhan domestik dan jangkaan inflasi.

Pada 2017, inflasi dijangka pada kadar tiga peratus hingga empat peratus dengan pertumbuhan ekonomi diunjurkan antara 5.2 hingga 5.7 peratus

Kadar faedah dalam sistem perbankan pula kekal stabil dalam tempoh tujuh bulan pertama 2017 selaras dengan OPR yang tidak berubah sejak Julai 2016, kata laporan itu.

Ringgit serta kebanyakan mata wang utama dan serantau mengukuh berbanding dolar AS dalam tempoh lapan bulan pertama 2017.

Laporan itu berkata, peningkatan ringgit didorong oleh kemasukan semula aliran dana bukan pemastautin ke pasaran kewangan Malaysia berikutan keadaan makroekonomi domestik yang menggalakkan.

Selain itu, langkah yang diumumkan Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada Disember 2016 dan April 2017 turut menyokong sentimen ringgit yang positif.

Jumlah hutang isi rumah mencatat 85,6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua 2017 (akhir 2016: 88.4 peratus). Sebahagian besar hutang isi rumah adalah untuk pemilikan harta dengan 63 peratus pinjaman bersandarkan aset hartanah dan pelaburan dengan prinsipal terjamin, menurut laporan itu.

Secara keseluruhan, kapasiti bayaran balik hutang isi rumah kekal teguh pada tujuh bulan pertama 2017 disokong oleh pertumbuhan pendapatan dan keadaan pasaran buruh yang stabil.

Laporan itu berkata, keupayaan sistem perbankan untuk menyerap kerugian terus kukuh disokong oleh kedudukan permodalan yang tinggi.

Pada akhir Julai 2017, sistem perbankan kekal dengan permodalan yang tinggi dengan nisbah modal ekuiti biasa kumpulan satu pada 13.3 peratus, nisbah modal kumpulan satu (14.2 peratus) dan nisbah jumlah modal (17.5 peratus) melepasi tahap pengawal seliaan minimum Basel III (akhir 2016: 13.1 peratus, 14 peratus dan 16.5 peratus), menurut laporan itu.

-- BERNAMA