Seorang suri rumah maut manakala anaknya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan.

Kemalangan berlaku di kilometer 48 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Pasir Puteh, Marang pada petang Khamis.

Nahas kira-kira jam 4 petang itu menyebabkan mangsa Nazifa Zulkefli, 33 tahun, maut di tempat kejadian manakala anaknya Nurul Ulya Mohd Omar, 2 tahun, hanya mengalami cedera ringan.



Insiden itu dipercayai berlaku selepas kereta yang dipandu seorang pensyarah dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh dua buah kereta termasuk kereta mangsa yang diletakkan di kiri bahu jalan.

Bagaimanapun pensyarah wanita yang berusia 33 tahun serta pemandu kereta Proton Saga Iswara yang berumur 38 tahun tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Suhaimi Ali ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan diserahkan kepada waris untuk urusan pengebumian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.