Seorang lelaki yang dikehendaki berhubung kes menetak bekas ibu mentua dan adik ipar di Kampung Padang Buloh di sini pada Sabtu lepas, diberkas oleh polis Melaka awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Amran Sidek berkata suspek berusia 36 tahun itu ditangkap di Malim, Melaka.

"Tangkapan dibuat oleh anggota daripada Balai Polis Malim dan kita sedang menunggu suspek dibawa ke sini bagi tujuan reman dan siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya polis percaya kejadian bermotifkan dendam dan kes akan disiasat menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Sementara itu, Amran berkata kedua-dua mangsa tetak tersebut dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, suspek dikatakan pergi ke rumah bekas mentuanya di Kampung Padang Buloh.

Pertengkaran berlaku di antara suspek dan adik iparnya sebelum dia bertindak mencederakan mangsa serta bekas ibu mentuanya dengan menggunakan sebilah pisau.

-- BERNAMA