Apabila kerajaan membenarkan pawagam, teater dan penganjuran acara secara langsung seluruh negara memulakan operasi perniagaan pada 1 Julai ini, syarikat seperti MBO Cinemas kini membuat persiapan menyeluruh untuk membuka semula pawagamnya kepada peminat wayang gambar.

Ketua Pegawai Operasinya (COO), Cheah Chun Wai berkata syarikat berkenaan telah mengambil langkah tambahan dengan melaksanakan pembasmian kuman di ruang legar pawagam, laluan pejalan kaki, kaunter pelanggan dan semua panggung.

"Persiapan lain yang dibuat adalah menyediakan kaunter untuk memeriksa suhu badan, pengimbas kod QR untuk pengumpulan data serta menanda jarak sosial di kaunter tiket, kiosk makanan dan kaunter pemeriksaan tiket.

"Kami sudah bersedia dan telahpun bersiap sedia sejak Mac lepas dengan melaksanakan semua protokol kebersihan yang diperlukan untuk memastikan pawagam kami bersih dan selamat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Menurut beliau, harga tiket untuk pawagam berkenaan akan ditentukan tidak lama lagi berdasarkan kepada persiapan menyeluruh yang telah dilakukan sebelum membuka semula pawagam.

Menyentuh mengenai jumlah penonton yang akan dibenarkan dalam sebuah panggung, Cheah berkata ia akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial dan membenarkan maksimum 250 penonton untuk setiap sesi bergantung kepada keluasan panggung berkenaan.

Katanya, sebagai sebahagian daripada SOP, masa yang cukup diperuntukkan bagi kakitangan MBO untuk melakukan pembersihan dan sanitasi semula semua panggung selepas setiap waktu tayangan.

Selain itu, beliau turut mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya mengguna pakai SOP penjarakan tempat duduk dalam pawagam sama seperti dalam kapal terbang, kereta api dan bas.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan operasi pawagam dan teater, serta penganjuran acara secara langsung di dalam dewan tertutup, dibenarkan bermula 1 Julai, namun, aktiviti yang dilakukan di dalam dewan perlu mengikuti SOP ketat yang ditetapkan pihak berkuasa.

-- BERNAMA