Krisis air yang dihadapi kira-kira dua juta penduduk Selangor dan Lembah Kelang, mungkin tidak berlaku sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) diberi mandat untuk mentadbir urus negeri berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kegagalan Kerajaan Selangor menangani krisis air membuktikan ketidakcekapan pembangkang mentadbir negeri berkenaan.

"Takkan masalah air tak boleh selesai? Kita boleh selesai! RM22 bilion kita dah belanja tetapi masalah kerajaan negeri bukan masalah BN! Ini menjadi punca masalahnya," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Perhimpunan Jentera Pemuda dan Puteri BN Peringkat Kebangsaan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKBN) di sini di Pagoh, hari ini.


Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Pengerusi BN Negeri; Pengerusi MyPPP, Tan Sri M. Kayveas; Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin; Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed dan Naib Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

Kira-kira 10,000 ahli Pemuda dan Puteri dari seluruh negeri membanjiri padang IKBN bagi menyaksikan pelancaran tersebut.

Turut diadakan acara penyerahan bendera BN kepada ketua-ketua Pemuda UMNO dari setiap negeri sebagai simbolik penyerahan tugas untuk Pilihan Raya Umum ke-14.

Selasa lalu, kira-kira dua juta pengguna di 498 kawasan di Selangor dan Lembah Klang berhadapan dengan krisis air ekoran kerja-kerja penyelenggaraan pam di Loji Rawatan Air SSP3.

Namun, krisis bekalan yang sepatutnya diselesaikan pada Khamis terpaksa dilanjutkan sehingga 11 Mac ini disebabkan sistem mampatan udara loji itu pecah pada 6 Mac lalu.

BACA: 'Krisis air buktikan pentadbiran Azmin makin tenat'

BACA: Krisis air: 'Azmin lepas tangan, salahkan pihak lain' - Isham Jalil

BACA: Isu air: Kerajaan Selangor cuba bantu Splash - Azmin