Penubuhan Taman Sinar Harapan ialah antara manifestasi dan aspirasi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam menzahirkan keprihatinan terhadap keperluan rakyat, khususnya kumpulan sasar orang kurang upaya (OKU).

Menterinya, Datuk Seri Rohani Karim berkata Taman Sinar Harapan di bawah kementerian itu merupakan institusi yang memberi penjagaan, perlindungan dan pemulihan kepada golongan OKU.

"Penubuhan Taman Sinar Harapan sejajar dengan Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya yang telah ditandatangani oleh negara pada 2010.

"Kemasukan penghuni di situ adalah secara sukarela mengikut kaedah-kaedah Pusat Pemulihan Cacat Akal 1977 dan juga melalui Akta Kanak-kanak 2001 (Pindaan 2016)," kata Rohani.

Taman Sinar Harapan Jubli Johor, khususnya, memberi manfaat dan perlindungan kepada 240 penghuni golongan istimewa perempuan untuk meneruskan kehidupan.

Tujuh penghuni Taman Sinar Harapan Jubli yang dilatih di bawah Sokongan Pekerjaan (Job Coach) telah mendapat pekerjaan bersesuaian dengan kebolehan mereka.

Majlis perasmian Taman Sinar Harapan Jubli oleh MB Johor Datuk Seri Mohd Khaled Nordin. -Astro AWANI / MALISSA SAHARI

Setakat ini seramai 651 OKU ditempatkan di tujuh institusi TSH di seluruh negara. -Astro AWANI / MALISSA SAHARI
Setakat ini, seramai 651 OKU ditempatkan di tujuh institusi Taman Sinar Harapan di seluruh negara iaitu di Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah, Selangor dan Johor.

Antara kemudahan yang disediakan ialah dewan utama, asrama penginapan, makmal komputer, bengkel program kemahiran serta pelbagai kemudahan mesra OKU.

Taman Sinar Harapan Jubli yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia (RMK) ke-11 dengan kos bernilai RM20.2 juta dirasmikan pada Ahad oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin.