Kerajaan akan melakukan penambahbaikan terhadap tadbir urus Felda supaya warga tanah rancangan itu mendapat lebih banyak manfaat yang kini menginjak usia penubuhannya 60 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata walaupun pelbagai manfaat dinikmati warga Felda sejak penubuhan tanah rancangan itu, beliau belum berpuas hati dan mahu melakukan lebih banyak lagi penambahbaikan.

Bagi merealisasikan tujuan itu, sebuah makmal dikenali sebagai makmal pemantapan Felda diwujud bagi memantapkan lagi entiti terbabit selaras dengan cabaran semasa.

"Sebab itu kita buat makmal bincang secara mendalam dan ada banyak cadangan. Ada 200 hingga 300 cadangan dan saya akan rumuskan, kumpulkan dan tidak lama lagi kita akan umumkan apa yang boleh ditambah baik tadbir urus Felda supaya boleh ke hadapan," katanya ketika berucap merasmikan Hari Peneroka Felda 2016 Peringkat Kebangsaan di perkarangan Stadium Tun Abdul Razak, Jengka di sini hari ini yang bertemakan 'Mensyukuri Nikmat, Kebersamaan dan Kebersatuan'.

Sementara itu kata perdana menteri, kerajaan mempunyai strategi tersendiri bagi memastikan harga sawit kekal utuh di mana harga komoditi itu sekitar RM2,800 se-tan.

Beberapa tindakan yang bakal diambil membolehkan kedudukan saham Felda Global Venture terus meningkat.

"Kita ada cadangan supaya harga sawit akan bertambah lebih baik walaupun hakikatnya ia bergantung kepada keadaan ekonomi dunia yang kita tiada kuasa mengawalnya," katanya sambil berharap masyarakat peneroka terus cekal dan yakin untuk terus bersama-sama Felda.

Tindakan yang bakal diambil kerajaan dijangka melonjakkan lagi harga pasaran bahan komoditi berkenaan.