Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim yakin kerajaan akan meneruskan keprihatinan terhadap keperluan Tentera Darat (TD) pada pembentangan Bajet 2018, Jumaat ini.

Ini katanya berdasarkan keperluan semasa yang menuntut pasukan itu dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

"Kalau kita lihat Menteri Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) memaklumkan hasrat supaya kerajaan menimbangkan dalam bajet (Bajet 2018) ini untuk meningkatkan sebahagian daripada keupayaan elemen-elemen Tentera Darat.

"Antara yang disebut Menteri Pertahanan ialah Grup Gerak Khas dilengkapkan dengan kelengkapan yang membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan lebih berkesan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda di Pusat Latihan Asas Tentera Darat di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi dan Panglima Medan Barat Lt Jen Datuk Azizan Md Delin.

Mengulas lanjut, Zulkiple berkata beliau melihat keutamaan perlu diberi kepada keperluan dalam menangani ancaman serantau dan juga dunia pada masa kini yang lebih menjurus kepada operasi-operasi tidak konvensional melibatkan kumpulan-kumpulan khusus yang mengancam keselamatan negara.

"Yang lebih penting bagi TD ialah kesiapsiagaan kami untuk digerakkan ke mana-mana untuk apa-apa keperluan dan juga operasi dan kita berdiri teguh sebagai tonggak pertahanan negara," katanya.

Terdahulu, Zulkiple memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan bagi perbarisan tamat latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 183/2017 dan Wanita Siri 43/2017.

Pada majlis itu, seramai 1,359 perajurit muda menamatkan latihan selama enam bulan yang bermula 8 April lalu.

-- BERNAMA