Para pegawai Kastam Thailand merampas 136 ekor tenggiling dan 450 kg sisik haiwan itu yang hendak dihantar ke Laos dan China, kata pemangku pengarah Bahagian Rampasan Barang, Vorachit Deachborvornlak.

Menurut beliau, mereka mengesyaki tenggiling dan sisik haiwan itu yang harganya sangat tinggi berasal dari Indonesia dan diseludup ke Thailand dari Malaysia.

"Kami percaya bahawa tenggiling tersebut berasal dari Indonesia sebelum ia diseludup ke Malaysia dan Thailand untuk dihantar ke Laos dan China sebagai destinasi terakhir," kata beliau ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Beliau berkata, kastam menerima maklumat mengenai percubaan menyeludup hidupan liar dan mengesan dua trak pikup yang sarat dengan muatan tenggiling yang dipandu oleh dua lelaki rakyat tempatan di Prachuabkhirikhan, kira-kira 2 pagi waktu tempatan hari ini.

Kedua-dua lelaki itu sempat melarikan diri di tengah-tengah kegelapan semasa para pegawai memeriksa trak tersebut, kata Deachborornlak tetapi yakin mereka akan menangkap kedua-dua suspek tidak lama lagi kerana mempunyai butir-butir peribadi dan alamat rumah mereka.

"Dalam trak tersebut, pafra pegawai menemukan 136 tenggiling yang masih hidup tetapi lima ekor daripada haiwan berkenaan mati kemudian dan 450 kg sisik tenggiling," kata beliau.

Menurut beliau, harga satu kilogram sisik tenggiling boleh mencecah kira-kira 10,000 Baht (kira-kira RM1,250) dan apabila sampai di China, haiwan hidup itu akan dijual kepada pemilik restoran yang menyajikan makanan eksotik.

Beliau berkata, tahun ini, jabatannya telah berjaya merampas 2.9 tan tenggiling dan sisiknya haiwan itu yang dicari-cari oleh pembeli kerana harganya yang sangat tinggi.

-- BERNAMA