Pihak majikan tidak seharusnya memberi alasan untuk tidak menghantar kakitangan mereka mengikuti kursus latihan keselamatan yang disediakan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

Pengerusi NIOSH Tan Sri Lee Lam Thye berkata ini kerana NIOSH mempunyai 15 pejabat dan cawangan yang terletak di lokasi strategik di seluruh negara.

"NIOSH selaku agensi penyedia latihan yang diiktiraf bersedia untuk membantu majikan khususnya pemaju dan kontraktor dalam meningkatkan aspek keselamatan di tempat kerja mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Keselamatan dan Kesihatan di Sekolah di Pejabat NIOSH Wilayah Selatan, di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemalangan yang berlaku di tapak projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang, dekat Kota Tinggi, dua hari lepas.

Dalam insiden kira-kira pukul 3 petang itu, beberapa pekerja sedang mengangkat paip pada ketinggian lebih tiga meter, sebelum tali pengikat paip itu putus dan menghempap pelantar sehingga menyebabkan dua pekerja terpelanting lalu cedera.

Lee berkata walaupun terdapat banyak penyedia latihan yang turut diiktiraf, pihak industri perlu menjadikan NIOSH sebagai 'the most preferred OSH partner' kerana ia mempunyai senarai latihan dan kepakaran paling komprehensif.

Beliau berkata projek Rapid masih dalam fasa pembinaan dan seharusnya aspek keselamatan perlu diutamakan oleh semua pihak terlibat.

"Hingga kini, Pejabat Satelit NIOSH di Pengerang telah menjalankan 54 kursus melibatkan seramai 1,095 peserta, manakala Pejabat NIOSH Wilayah Selatan pula menjalankan 852 kursus membabitkan 16,653 peserta," katanya.

-- BERNAMA