Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tidak menghalang mana-mana UMNO Bahagian di negeri ini untuk menjemput Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk merasmikan mesyuarat bahagian masing-masing.

Menurutnya, Muhyiddin masih seorang pemimpin dalam parti dan beliau masih perlu dihormati oleh semua ahli UMNO.

"Menghormati pemimpin ini adalah tradisi dalam UMNO. Jadi Tan Sri Muhyiddin juga perlu dihormati walaupun beliau bukan lagi Timbalan Perdana Menteri,'' katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini pada Selasa.

Bagaimanapun, setakat ini, dua UMNO Bahagian di Perak sudah membatalkan hasrat untuk menjemput Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal bagi merasmikan mesyuarat bahagian masing-masing.

Bahagian terlibat ialah Ipoh Barat dan Batu Gajah yang sepatutnya bermesyuarat pada Ahad ini.

Perkara itu disahkan kedua-dua Ketua Bahagian Berkenaan, Datuk Shamsudin Abdul Ghaffar dan Datuk Mohd Yusoff Kassim.

Setakat ini hanya dua bahagian berkenaan yang menyenaraikan Shafie sebagai jemputan bagi merasmikan mesyuarat mereka.

Bagaimanapun tiada satupun daripada 24 bahagian di Perak menyenaraikan Timbalan Presiden UMNO, Tan Muhyiddin Yassin untuk merasmikan mesyuarat bahagian masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan pengguguran Muhyiddin dan Shafie dari senarai kabinet.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka masih mengekalkan jawatan dalam parti.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor pada Selasa membuat kenyataan dengan nada yang sama.

Beliau mengingatkan ahli-ahli UMNO di Johor bahawa Muhyiddin masih Timbalan Presiden parti dan meminta semua semua pihak terus menghormatinya.

"Di Johor, saya tiada sebarang halangan bagi mana-mana bahagian yang telah dan ingin menjemput beliau untuk merasmikan mesyuarat-mesyuarat UMNO bahagian masing-masing," katanya.