Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata entri terkini blog Sarawak Report berhubung draf saman kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tidak benar dan berniat jahat.

"Saya menafikan kononnya ada dokumen atau surat arahan atau saman dibuat peguam negara kepada perdana menteri," kata Zahid pada sidang media mesyuarat jawatankuasa induk pengurusan warga asing di Sabah yang diadakan di Bukit Aman, pada hari ini.

Tegasnya lagi, tiada dokumen yang dikeluarkan pejabat peguam negara berhubung dokumen yang didakwa blog terbabit.

Tambahnya, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan susulan berhubung dakwaan blog itu.

Pada Khamis Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan laporan Sarawak Report yang mendakwa ada pertuduhan jenayah sedang disiapkan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai "tidak sah asal-usulnya".

Laporan itu juga dikatakan boleh mengelirukan orang ramai.