PUTRAJAYA:Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh mangambil tindakan ke atas mana-mana premis kelab malam atau pub yang beroperasi tanpa kebenaran.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kerajaan tidak memberi kebenaran kepada premis berkenaan beroperasi lagi.

"Di bawah PKPP, kita tidak pernah memberi kebenaran kepada kelab malam atau pub untuk beroperasi.

"Kalau kelab malam atau pub ini beroperasi tanpa kebenaran, PDRM (Polis Diraja Malaysia) boleh mengambil tindakan.

"Ini kerana kawasan itu mempunyai risiko tinggi transmisi (COVID-19)," katanya pada sidang media di sini, pada Khamis.



Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai peningkatan kes di Selangor, Noor Hisham menjelaskan jangkitan COVID-19 di Selangor masih terkawal meskipun kadar kebolehjangkitan virus tersebut meningkat kepada 1.9.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus melaksanakan tindakan kesihatan awam termasuk mengenal pasti lokaliti dan kumpulan sasaran.