Tiga dokumen, termasuk Deklarasi Kuala Lumpur Berorientasikan Rakyat dan Berpaksikan Rakyat ASEAN, sudah sedia untuk diterima pakai oleh pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 pada Ahad dan Isnin ini di Kuala Lumpur dan Langkawi.

Dua lagi Deklarasi Langkawi ialah mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global dan Deklarasi ASEAN Bagi Menginstitusikan Daya Tahan ASEAN dan Komuniti serta Rakyat Terhadap Bencana dan Perubahan Iklim.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Deklarasi Kuala Lumpur Berorientasikan Rakyat dan Berpaksikan Rakyat ASEAN, bermatlamat menjadi deklarasi berinspirasi dan rangka kerja untuk digunakan sebagai dokumen penting Komuniti ASEAN pasca 2015.

"Tumpuan deklarasi ialah ke atas penduduk dan alam sekitar bagi pembangunan lestari di rantau ini," katanya pada sidang media menjelang sidang kemuncak itu di sini hari ini.

Anifah berkata deklarasi itu adalah selari dengan objektif dan aspirasi Agenda pasca 2015 Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang 'menempatkan rakyat dan bumi sebagai pusat pembangunan lestari.

Anifah berkata deklarasi Langkawi bermatlamat mengukuhkan perpaduan dan kesepaduan, dan peranan pentingnya dalam mengekalkan dan menggalakkan keamanan, kestabilan, harmoni dan kemakmuran di rantau ini.

Deklarasi ASEAN menekankan pentingnya membangunkan Komuniti ASEAN yang berdaya tahan terhadap bencana dan perubahan iklim, melihat daya tahan sebagai proses dan hasil pelbagai penyatuan, katanya.

Ini adalah selari dengan perakuan mengenai pentingnya meningkatkan kerjasama dalam Pengurusan Bencana dan Respons Kecemasan ASEAN dengan mengambil kira bencana berkaitan malapetaka semula jadi yang menyebabkan kematian yang besar, kerosakan dan penderitaan masyarakat di rantau ini, katanya.

Anifah berkata pada sesi pleno, pemimpin akan membincangkan penubuhan Komuniti ASEAN, kemajuan Wawasan Komuniti ASEAN Pasca 2015 serta hubungan luar dan arah tuju masa depan.

Pada peringkat pemukiman, pemimpin akan membincangkan topik Pemusatan ASEAN, impak krisis kewangan dan kelembapan ekonomi di rantau ini dan respons ASEAN, perubahan iklim dan pengurusan bencana selain bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa kepentingan bersama, katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN akan didahului beberapa Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN pada Ahad (26 April).

Anifah berkata pemimpin ASEAN juga dijadual mengadakan pertemuan berasingan dengan wakil Persidangan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN dan Belia ASEAN (ABAC).

Sempena sidang kemuncak itu pelbagai acara sampingan turut dijalankan termasuk Forum untuk isteri ketua-ketua Kerajaan/Negara ASEAN dan Forum Kepimpinan ASEAN ke-12 anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) dan pelancaran syiling kenang-kenangan sempena Malaysia mempengerusikan ASEAN 2015.