Tutup

Tiga rumah kedai musnah dalam kebakaran awal pagi

Tiga rumah kedai musnah dalam kebakaran awal pagi
Kebakaran membabitkan tiga kedai satu tingkat yang masing-masing musnah 90 peratus. Foto JBPM
KUALA KETIL: Sederet tiga rumah kedai musnah dalam kebakaran di Belakang Balai Polis Kuala Ketil, dekat Baling, awal pagi tadi.

Kebakaran membabitkan sebuah kedai bunga, sekolah memandu dan kedai membaiki televisyen.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.48 pagi.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) Ramli Saad, tiba di lokasi jam 2.53 pagi.
Kebakaran membabitkan tiga kedai satu tingkat yang masing-masing musnah 90 peratus.


Foto JBPM

Mohamadul Ehsan berkata, api berjaya dikawal jam 3.10 pagi.

Operasi disertai sepasukan anggota dari BBP Aman Jaya bersama sebuah jentera, dengan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS). 


Foto JBPM

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu.

Setakat ini, punca kebakaran dan kadar kerugian masih dalam siasatan.