Pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) yang didakwa menyalurkan maklumat dalaman kepada pihak luar perlu dikenakan tindakan tegas kerana perbuatan itu menjejaskan kredibiliti dan mencemarkan imej bank pusat itu.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jika benar perbuatan itu dilakukan individu berkenaan, ia tidak ubah seperti 'harapkan pagar, pagar makan padi' kerana mendedahkan kerahsiaan kewangan pelanggan.

"Perbuatan itu sangat serius yang boleh menjejaskan kedudukan dan kredibiliti Bank Negara serta sistem perbankan negara yang selama ini mendapat pengiktirafan masyarakat dunia.

"Tindakan tegas perlu dikenakan dengan hukuman yang sekeras-kerasnya tanpa ada kompromi. Ia sebagai memberi pengajaran kepada pihak lain," katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Tadarus Perdana dan Khatam al-Quran anjuran Wanita UMNO Bera di sini, Ahad.

Ismail Sabri berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar pada Ahad berhubung dakwaan pengendali portal Malaysia Today yang mendakwa tiga pegawai kanan BNM sedang disiasat pihak berkuasa kerana disyaki membocorkan rahsia bank pusat itu.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata siasatan terperinci dan telus serta profesional perlu dilakukan berhubung dakwaan itu, sebelum tindakan diambil.

"Jika benar mereka bersalah, kerajaan tidak boleh bertolak ansur. Kita ada undang-undang mencukupi untuk mendakwa mereka seperti Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia), tetapi memerlukan penguatkuasaan yang tegas," katanya.