Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata desakan Penasihat DAP Lim Kit Siang supaya Kabinet menolak jemputan Presiden Amerika Syarikat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melawat White House bulan depan, adalah tidak berasas.

Beliau berkata sebaliknya perdana menteri wajar memenuhi undangan Presiden Donald Trump bagi melakukan kunjungan rasmi pada 12 Sept ini.

"Tindakan Kit Siang itu sebahagian daripada usaha pembangkang untuk memburukkan nama Najib dan kerajaan Malaysia," katanya kepada pemberita pada Karnival Keusahawanan Kelantan @ Ketereh yang dirasmikan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub di sini, pada Selasa.

Beliau mengulas kenyataan Kit Siang baru-baru ini bahawa Najib tidak sepatutnya menerima undangan itu sehingga isu tindakan perundangan oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat berkaitan isu dana membabitkan 1Malaysia Development Berhad selesai.

Annuar berkata dakwaan Kit Siang itu hanya 'rekaan' semata-mata kerana siasatan menunjukkan perdana menteri tidak terlibat dengan dakwaan yang terkandung dalam tindakan perundangan DoJ.

Sementara itu, Ahmad Jazlan berkata Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kelantan perlu terus diperkasakan terutama dalam aspek pemasaran.

"Kita tidak mahu usahawan PKS hanya mampu bertindak sebagai pengeluar produk sedangkan ada pihak lain meraih keuntungan lebih besar. Usahawan perlu melebarkan rantaian pasaran dan menguasai ilmu pemasaran terutama secara dalam talian," katanya.

Beliau berkata sebanyak 5.1 peratus daripada 900,000 PKS di Malaysia adalah dari Kelantan dan jumlah itu mampu ditingkatkan memandangkan lebih ramai usahawan PKS boleh dilahirkan di negeri itu melalui sokongan pelbagai agensi kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

-- BERNAMA