MASIH ingat sewaktu kecil, arwah nenek akan memacakkan Jalur Gemilang di hadapan rumah, simbolik meraikan kemerdekaan.

Saya hanya memandang dan bersorak gembira tatkala rumah kami ketika itu sudah menyertai kebanyakan rumah lain di taman perumahan itu yang memasang bendera.

Malah bendera kami paling tinggi tiangnya.

Saban tahun juga arwah nenek bercerita mengenai era Perang Dunia Kedua, yang beliau sebut sebagai "zaman perang Jepun".

Ceritanya mengenai makan ubi kayu, sembunyi dalam tempayan, penderaan oleh tentera Jepun, semuanya disampaikan secara lisan berkali-kali oleh nenek sehingga saya sudah saya hafal jalan ceritanya.

Tetapi saya harus akui, meskipun berpuluh-puluh malah beratus kali arwah nenek bercerita mengenai zaman penjajahan Jepun serta keganasan komunis, masih saya tidak dapat rasa, apatah lagi menghayati makna susah di sebalik erti kemerdekaan seperti masa yang dirasai arwah nenek.

Generasi Gen-Y seperti saya ini tidak lagi berkongsi definisi "Merdeka" seperti mana arwah nenek dan generasi seusianya.

Ya, saya kenang keterujaan arwah nenek dan cerita-ceritanya, tetapi itu adalah ceritanya yang saya hanya boleh gambarkan melalui imaginasi.

Jadi, apa pengisian ulang tahun kemerdekaan buat saya?

Ya, saya akui tidak terlibat dalam proses memerdekakan negara. Maklumlah, ketika Malaya merdeka, arwah bapa saya masih bayi ketika itu.

Pada masa sama, saya bersyukur dan berterima kasih dengan pengorbanan generasi terdahulu merintis jalan dan seterusnya memerdekakan Malaya dan menubuhkan Malaysia bersama pemimpin di Sabah dan Sarawak.

Tetapi pengisian nasionalistik pada saya bukan sekadar memori "berterima kasih kepada generasi terdahulu."

Kami generasi-Y juga ada cerita kami sendiri.

Saya bersetuju dengan cadangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim yang mahu silibus mata pelajaran Sejarah dirombak agar ia bersifat sosiologi dan menceritakan rencam sejarah moden negara.

Razali mahu segala kejayaan sejarah moden Malaysia diceritakan dan dihayati. Cerita seperti kejayaan negara berjaya menangani krisis ekonomi 1997, misalnya, perlu diisi sebagai bahan pendidikan sejarah di sekolah.

Kami jadi saksi pembangunan pesat negara dan menyumbang kepada kepesatan tersebut.

Kami jadi saksi betapa rakyat negara ini boleh mengubah minda dan pemikiran dan tidak lagi terkongkong dengan pemikiran ala era imperialisme.

Kami sahut cabaran untuk membuktikan diri kami mampu melakukan apa yang kami mahukan.

Banyak lagi cerita kami generasi Gen-Y. Semuanya boleh diangkat sebagai fragmen dalam pengisian kemerdekaan negara.

Kenapa ia penting?

Sudah sekian lama sambutan ulang tahun tanggal 31 Ogos disambut dengan kenangan era antara 60 hingga 70 tahun lalu. Tetapi jarang sekali kejayaan negara menelurusi cabaran dalam proses pembangunan negara diangkat.

Setiap generasi perlu arif tentang cerita negara ini selepas tanggal 31 Ogos 1957 dan 16 September 1963 kerana sesungguhnya kejayaan negara tidak berakhir pada dua tarikh tersebut.

Terlalu banyak cabaran dan pencapaian negara yang boleh dipelajari dan dirai oleh setiap generasi, terutama sekali ketika negara menyambut Hari Kebangsaan.

Saya pasti generasi arwah nenek saya dan generasi sebelumnya akan teruja dengan semua kejayaan dan usaha rakyat negara ini diangkat menjadi cerita Malaysia yang dibanggakan.

Untuk arwah nenek, Selamat Hari Kebangsaan 2015.