Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, hadir menyaksikan acara kemuncak Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU), pada Selasa.

Acara penutup itu juga berlangsung serentak dengan pelancaran sambutan jubli perak Putrajaya, serta sambutan malam tahun baharu.

Mereka yang diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad, menyertai puluhan ribu warga Putrajaya menyaksikan persembahan grand projection mapping menerusi tujuh segmen bertemakan Beautiful Malaysia.



Antara segmen yang diketengahkan ialah pembangunan negara, budaya dan sukan.

"Saya gembira dapat bersama-sama melihat Putrajaya menyambut usia 25 tahun.

"Kerjasama, perpaduan dan kestabilan membolehkan kita membangunkan sebuah ibu kota pentadbiran yang megah.

"Sayangilah Putrajaya, dan sayangilah Malaysia, negara kita yang tercinta," kata Tun Mahathir dalam amanat ringkasnya.

Festival LAMPU 2019 berlangsung sejak Ahad lalu, dianjurkan buat kali ketujuh, menampilkan persembahan visual projektor di bangunan Istana Kehakiman.