Ketika insan lain berkongsi kesedihan dilanda banjir bersama ahli keluarga masing-masing, nasib berbeza dialami seorang wanita warga emas yang terpaksa mengharungi ujian itu bersendirian.

Esah Kasim, 78 tinggal sebatang kara di sebuah rumah kecil di Jalan Keretapi Lama, Kampung Pengkalan Alor Gajah, Melaka.

Ketika banjir kilat yang melanda bandar raya bersejarah itu pada Sabtu lalu, Esah sama seperti mangsa yang lain, tidak terkecuali meranduk air bersendirian untuk menyelamatkan diri.

Melihat keadaan di kawasan rumahnya mula digenangi air, Esah yang dipindahkan di Pusat Pemindahan SMK Seri Pengkalan Alor Gajah berkata, ketika kejadian banjir itu, dia tidak sempat memunggah barang ke tempat selamat kerana tiada kudrat.

"Sejak saya duduk di sini, sudah dua kali kawasan ini dilanda banjir," kata Esah, ketika ditemui wartawan Astro AWANI pada Selasa.

Trauma dengan kejadian banjir yang telah menenggelamkan rumahnya hingga paras dada dan merosakkan semua barangan didalamnya, Esah redha dengan ujian Illahi dan bersyukur apabila ramai sukarelawan datang untuk membantunya membersihkan kediamannya.

Kesemua barangan rumahnya rosak dan tiada apa yang dapat diselamatkan.

Sehingga tengahari Selasa, hanya dua pusat pemindahan yang masih beroperasi iaitu Pusat Pemindahan SK Belimbing Dalam dan Balai Raya Bukit Balai Durian Tunggal dalam daerah Alor Gajah yang melibatkan 183 mangsa dan 44 buah keluarga.