6 hari menjelang PRU14, ini antara perbualan hangat di Twitter

6 hari menjelang PRU14, ini antara perbualan hangat di Twitter
Pada PRU14 ini, netizen menjadikan platform media sosial sebagai satu cara untuk bertukar pendapat dengan pengundi lain. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Enam hari menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) netizen terus menggunakan laman media sosial khususnya Twitter bagi menyuarakan aspirasi, harapan dan keinginan mereka.

Ramai di kalangan pengguna media sosial menggunakan platform itu bagi menyalurkan harapan kepada pemimpin yang bakal diberi mandat untuk mewakili suara mereka.

Mereka juga mengharapkan agar bakal pemimpin akan lebih kerap turun padang bertemu rakyat dan bukan sekadar bertemu di saat tempoh pilihan raya umum yang semakin menghampiri.
Majoriti perbualan hari ini juga terarah kepada semangat untuk pulang mengundi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Menariknya mengenai perbualan balik mengundi ini, netizen menjadikan platform ini sebagai satu cara untuk bertukar pendapat dengan bakal pengundi lain.

Rata-rata perbincangan terarah kepada siapa yang pulang mengundi ke lokasi yang sama dan berapakah kos yang perlu dibayar untuk pulang bersama menaiki satu kenderaan.

Ada juga dalam kalangan mereka seolah-olah tidak sabar untuk pulang ke kampung halaman untuk mengundi dan pada masa sama meluangkan masa bersama keluarga.
Perbualan di laman media sosial, khususnya Twitter, dijangka akan terus rancak dalam tempoh beberapa hari ini menjelang hari pengundian 9 Mei.