Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem memikat perhatian masyarakat majoriti Kristian semasa melawat rumah panjang di Long Panai, di sini dengan kebolehannya menghafal ayat-ayat kitab agama itu.

Beliau membacakan beberapa potongan ayat dan menerima tepukan gemuruh masyarakat majoriti Kayan di sini.

"Saya bukan penganut Kristian, tentunya, tetapi saya cuba menjadi seorang Islam yang baik. Saya juga mengkaji ayat-ayat ini. Saya tahu mengenai kitab Injil Luke, Matthew, John dan James.

"Saya juga tahu mengenai ajaran agama ini dan tahu mengenai kisah hidup Nabi Isa...di sekolah saya mendapat keputusan cemerlang dalam pengajian ayat-ayat ini, seorang daripada segelintir pelajar Melayu yang dapat cemerlang, bukan mudah," katanya semasa mengadakan perjumpaan dengan kira-kira 1,000 orang di rumah panjang itu.

Yang turut hadir pada sesi pertemuan mesra di rumah panjang 127 pintu itu ialah calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Mulu Datuk Gerawat Gala.

Adenan yang turut mempertahankan kerusi negeri Tanjung Datu dalam Pilihan Raya Sarawak ke-11 berkata kebebasan beragama adalah antara 53 prinsip dan tindakan yang dilaksanakannya.

Kebebasan ini, katanya, akan didukung selagi beliau ketua menteri.

Mengenai pengundian pada 7 Mei, Adenan memberitahu hadirin bahawa beliau pelik melihat pembangkang pada mulanya menolak pengwujudan 11 kerusi baharu negeri termasuk Mulu semasa proses persempadanan semula tetap kemudian pembangkang meletakkan calon untuk bertanding kerusi itu.

"Sehingga mereka bawa kita ke mahkamah minta mahkamah batalkan apa yang kita mahu (jadikan Mulu sebagai kerusi baharu), pertama kali kita kalah bicara, tetapi bila kita rayu, kita menang dan dapatlah kita kawasan baharu ini.

"Itulah saya hairan kenapa mereka bertanding. Kata orang Melayu umpama 'menjilat ludah sendiri'," katanya.

Adenan berkata dua daripada kerusi baharu itu diperuntukkan di kawasan Orang Ulu supaya Dewan Undangan Negeri boleh mempunyai lebih ramai wakil daripada masyarakat itu, justeru lebih banyak suara daripada mereka akan didengar.

"Sokong pasukan saya, saya akan lakukan banyak perkara untuk anda tapi lakukan dulu sesuatu untuk saya. Ini bukan janji semata-mata, saya mempunyai kuasa untuk melakukannya, sebagai ketua menteri, saya mempunyai kuasa ke atas tanah, sumber asli dan lain-lain," katanya.

Mulu, kerusi baharu ini akan menyaksikan pertembungan antara Gala daripada BN, Paul Raja (DAP), Pauls Baya (PKR) dan Dr Roland Mattu (Bebas).