Semua ahli UMNO dari pucuk pimpinan hingga ke akar umbi diingatkan supaya tidak alpa dan sentiasa berwaspada terhadap manipulasi dan provokasi pihak yang suka menangguk di air keruh.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dipetik sebagai berkata demikian dalam laporan daripada laman web bnbbc.my pada Selasa.

“Usahlah kita terpengaruh dengan pelbagai manipulasi dan provokasi yang dilontarkan oleh mereka. Malah sikap mereka yang kononnya gemar menangguk di air keruh juga perlu kita awasi.

Beliau juga meminta setiap ahli agar berwaspada terhadap dakyah pembangkang yang sentiasa mencari peluang untuk menggugat perpaduan parti.

“Terutamanya pembangkang yang dilihat sentiasa mencari ruang dan peluang bagi merobohkan perpaduan dan kesatuan yang menjadi benteng kita selama ini," katanya sepertimana dipetik laporan tersebut.

Tengku Adnan dalam pada itu dilapor meminta semua ahli supaya bertenang dan berfikir secara rasional susulan pelbagai isu yang melanda, khususnya serangan bertali arus terhadap perdana menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Seharusnya kita terus memberikan sokongan padu kepada pemimpin atasan serta memberi ruang kepada beliau untuk memikirkan tindakan yang sewajarnya diambil demi kepentingan agama, bangsa dan negara

“Dalam masa sama, saya menyeru semua ahli UMNO meneruskan fokus perjuangan parti selaras dengan gerak kerja yang telah diatur,” katanya lagi.

Tengku Adnan turut mengajak ahli-ahli UMNO untuk terus berpegang teguh kepada matlamat perjuangan parti dan memastikan demokrasi terus subur.

Jumaat lalu, laporan Wall Street Journal (WSJ) mendakwa dana hampir AS$700 juta (kira-kira RM2.6 bilion) telah dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

Dalam laporan itu, WSJ menyebut bahawa dokumen menunjukkan dana tersebut dipindahkan ke agensi milik kerajaan dan kemudiannya ke akaun peribadi perdana menteri dalam beberapa deposit berasingan.

Sarawak Report pula mendakwa RM42 juta dimasukkan ke akaun Najib daripada SRC International Sdn Bhd, sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan.

Kedua-dua WSJ dan Sarawak Report memetik dokumen yang kononnya diperoleh daripada siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib, walau bagaimanapun, menafikan dakwaan tersebut selain berkata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir merupakan individu di sebalik pembohongan yang dibuat Wall Street Journal dan Sarawak Report kerana keengganannya tunduk kepada permintaan bekas perdana menteri itu.

Najib juga menegaskan beliau selaku perdana menteri yang dipilih rakyat tidak akan sesekali mengkhianati rakyat dan harta benda negara ini.

Beliau berkata pihaknya tidak akan membenarkan anasir luar untuk menggugat dan menjatuhkan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dipilih oleh rakyat, sesuka hati mereka.