Generasi muda diingatkan bahawa mereka mempunyai kuasa untuk menentukan arah tuju politik negara bagi menjamin masa depan yang lebih baik.

Calon DUN Tanjong Batu daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Hamisa Samat menegaskan supaya anak muda untuk keluar mengundi calon berwibawa bagi membela nasib dan kebajikan rakyat.

“Saya minta agar rakyat terutamanya golongan muda berfikiran positif dengan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan membuat pilihan terbaik buat diri sendiri serta pembangunan di DUN Tanjong Batu dan Parlimen Kalabakan.

“Jika memilih calon daripada pembangkang, mereka bukan sahaja akan gagal membela nasib golongan tidak berkemampuan, malah gagal melaksanakan program perancangan untuk jangka masa panjang.

“Itu akan mengakibatkan rakyat di kawasan ini berdepan dengan masalah, walaupun ia keputusan mereka,” katanya ketika dijumpai selepas Majlis Cukur Jambul ajuran Wanita Usia Tawau di sini, hari ini.

Datuk Hamisa Samat ditemui selepas Majlis Cukur Jambul ajuran Wanita Usia Tawau di sini, hari ini. Foto: Astro AWANI.

Dalam pada itu, Hamisa turut menegaskan agar generasi muda sedar bahawa pilihan raya bukan pentas untuk mengejar populariti atau membalas dendam atas isu-isu peribadi.

Beliau menasihatkan agar pengundi muda tidak mudah terpedaya dengan strategi pembangkang yang memanipulasikan mereka dengan sifat keghairahan untuk melalukan perubahan.

Tambah Hamisa, kerajaan BN telah menarik taraf hidup rakyat dengan membaik pulih prasarana, kemudahan asas dan melahirkan modal insan sehingga Malaysia diberi pengiktirafan antarabangsa.