Pembangkang tidak mampu menawarkan pembangunan sebagaimana yang dilakukan kerajaan BN.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, BN perlu merampas kembali beberapa kerusi Parlimen yang kini dikuasai pembangkang, antaranya Pokok Sena dan Kuala Kedah pada PRU14 akan datang.

“Kita tengok sahaja kawasan Pokok Sena, apa yang Mahfuz (Datuk Mahfuz Omar) buat? Jika dia terus menang di situ, apa dia boleh buat untuk bangunkan kawasan?

"Kuala Kedah pun sama, tak ada pembangunan yang mereka buat untuk rakyat, yang bangunkan projek pembangunan adalah kerajaan BN,” katanya ketika berucap pada majlis Himpunan Kelab Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Negeri Kedah.

Menurutnya, rakyat hendaklah celik dengan menilai pembangunan yang ada sama ada ia dibangunkan oleh pembangkang atau kerajaan negeri.

“Usah terpedaya dengan janji-janji palsu pembangkang. Kali ini jangan buat silap lagi, jangan hilang kuasa di kawasan dimenangi pembangkang jika mahukan pembangunan,” katanya.

Ahmad Bashah berkata, kesinambungan pentadbiran antara negeri dan Pusat amat diperlukan bagi melancarkan projek pembangunan yang dirancang.

“Kerajaan BN diberi kepercayaan 12 kali pada PRU untuk bangunkan Kedah, kita kalah sepenggal dan ambillah iktibar. Konsep muafakat yang kita perkenalkan pastinya membawa berkat untuk rakyat,” katanya.

Ahmad Bashah turut memuji inisiatif menubuhkan Kelab Usahawan Ikhtiar Cawangan dan Kesukarelawan atau KUICK.

“Sahabat AIM di seluruh negara melebihi 320,000 orang, dan memerlukan platform yang dapat menghimpunkan semua bawah satu bumbung untuk merencana aktiviti berteraskan keusahawanan sosial dan kebajikan Sahabat,” katanya.

Pada majlis itu, sumbangan RM45,000 diberikan kepada Kelab Usahawan AIM negeri Kedah, di mana kesemua 15 kelab menerima sumbangan RM3,000 bagi menggiatkan lagi aktiviti kelab.