ALOR SETAR: Kemunculan semula Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah ke pentas politik diterima baik apabila menang sebagai Ketua UMNO Bahagian Alor Setar dalam pemilihan yang berlangsung pada Sabtu.

Setiausaha Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ariffin Man, berkata keputusan tersebut menyaksikan Bekas Menteri Besar yang berusia 73 tahun itu meraih kemenangan dengan jumlah 306 undi menewaskan pemangku jawatan tersebut sebelum ini, Zambri Mat, 44, yang memperolehi 141 undi.

Turut membuat kejutan ialah Datuk Mohd Nazifuddin Najib, 39, yang merupakan anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menang sebagai Ketua UMNO Bahagian Langkawi dengan memperolehi 246 undi.

Beliau menang tipis menewaskan pemangku jawatan tersebut, Nor Saidi Nanyan dengan jumlah tipis 234 undi sekalu gus membolehkan beliau bergelar sebagai Ketua UMNO Bahagian termuda di Kedah bagi penggal terbaharu ini.

“Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mempertahankan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Jerai dalam saingan empat penjuru di bahagian itu.

“Datuk Aminuddin Omar memenangi Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu menewaskan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Johari Baharum.

"Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, kekal Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Muhar Hussain Bahagian Kulim/Bandar Baharu dan Datuk Syed Ali Syed Rastan Bahagian Pokok Sena mempertahan jawatan masing-masing," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Ariffin berkata, Datuk Abdul Muthalib Harun yang sudah tiga penggal memegang jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah berjaya menewaskan penyandang, Dr Zaki Zamani Abd Rashid serta dua calon lain untuk diangkat sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah.

Datuk Shahanim Mohamad Yusoff mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani menewaskan Mejar (B) Datuk Abdul Rahim Saad yang menentangnya.

Manakala Datuk Othman Aziz dan Datuk Suraya Yaacob pula terus mempertahankan jawatan masing-masing iaitu bahagian Jerlun dan Pendang.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menang tanpa bertanding di Bahagian Padang Terap.

“Bagaimanapun tiga lagi bahagian iaitu Sik, Merbok dan Padang Serai masih dalam pengiraan,” ujarnya.