Pelawaan yang dibuat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada parti orang Melayu supaya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan berdasarkan sentimen rasis.

Sebaliknya, katanya, tujuannya ialah untuk menyatukan politik orang Melayu dalam negara ini.

"Sebenarnya saya terangkan orang Melayu tak pandai politik, dia seronok nak jadi presiden sahaja. Bila seronok dia buka parti, semakin lama semakin banyak parti.

"Jadi, lama-lama orang Melayu tiada kuasa langsung, semua parti kecil-kecil sahaja

"Mereka boleh masuk parti mana pun yang sudah ada. Cukup ada empat buah parti," katanya merujuk kepada UMNO, Pas, Bersatu dan Amanah.

"Ini bukan sentimen rasis. Kita kena selamatkan semua orang kerana orang Melayu ketinggalan di belakang," tambahnya.

BACA: Dr Mahathir ajak semua parti Melayu bergabung bawah satu parti

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Pengerusi Bersatu berkata demikian pada satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH, di Yayasan Perdana Putrajaya, di sini, hari ini.

Malah, Dr Mahathir juga secara sinis mengulangi pelawaannya supaya orang Melayu menyertai Bersatu.

"Parti kita namanya Pribumi Bersatu, jadi, lebih baik bersatu. Kalau tidak, dulu kita kena gugurkan nama Bersatu. Kalau kita kata Bersatu Bumiputera, ini salah. Tetapi, saya dapati rakan-rakan (dalam PH) tidak dapati saya bersalah dan tidak sebat saya,” katanya.

BACA: Penyatuan parti Melayu: Anwar mahu dengar sendiri dari Tun M

Beliau berkata, pelawaan itu bukan bermaksud PH tidak mendapat sokongan Melayu, tetapi hanya untuk menyelamatkan politik kaum itu.

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menolak pelawaannya supaya orang Melayu menyertai Bersatu, beliau berkata: "Presiden tolaklah, yang lain masuk. Presiden (UMNO) nak masuk pun kita tak bagi."

Dr Mahathir turut berseloroh apabila mengulas mengenai laporan bahawa beliau akan diserang oleh pemimpin PH pada mesyuarat hari ini berikutan pelawaannya: "Rakan-rakan saya tidak dapati saya bersalah dan tidak sebat saya tadi."

Beliau juga berkata tiada masalah dalam kerjasama antara empat parti komponen PH walaupun mungkin terdapat masalah dalaman parti masing-masing.


Katanya, ahli Kabinet sekarang terdiri daripada semua parti komponen PH dan turut disertai Parti Warisan Sabah walaupun ia tidak menyertai PH.

"Setakat ini lima buah parti ini dapat membuat keputusan dalam Kabinet, kita tidaklah baling botol ke, pukul orang ke, itu berlaku di negara lain.

"Di Malaysia, kita amat bersopan. Secara umumnya kabinet boleh berfungsi, itu yang sebaiknya," katanya.

BACA: UMNO, BN tolak pelawaan Tun M sebab sekongkol dengan DAP

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut serta pada sidang media itu, juga ditanya mengenai kebimbangan penganalisis terhadap kesinambungan polisi kerajaan setelah beliau mengambil alih jawatan perdana menteri.

Apabila Anwar secara ringkas berkata "Tun (Dr Mahathir) bertindak berdasarkan kepada dasar-dasar PH dan saya adalah ahli dalam PH", ia mengundang reaksi Dr Mahathir yang berseloroh: "Ahli PH mesti ikut ketua. Tak ikut, kita belasah."