Keghairahan DAP mendesak rakan sekutunya supaya bersetuju mengadakan pilihan raya mengejut sebelum persempadanan semula kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), disifatkan hanya mahu menunjuk kuasa politik.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar berkata DAP kini merasakan mereka lebih berkuasa daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana menguasai kerajaan Pulau Pinang dan majoriti kerusi DUN Selangor iaitu 15 daripada 56 kerusi keseluruhan.

Pertelingkahan antara kedua-dua parti itu yang tidak berkesudahan hanya menunjukkan pembangkang tidak pernah sepakat walaupun sering mengakui memperjuangkan agenda yang sama, katanya kepada pemberita pada majlis ramah mesra bersama belia Selangor di sini Rabu malam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan DAP yang mahu kerajaan Selangor mengadakan pilihan raya mengejut ekoran cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya, yang didakwa sengaja 'mengubah' peta negeri itu.

"Kedua-dua parti ini dan rakan pakatan mereka tidak pernah satu kepala...DAP sekarang rasa dia cukup besar (menguasai Pulau Pinang dan sebahagian kerusi DUN Selangor)," katanya.

"PKR yang sekadar kuda tunggangan DAP pula masih mempunyai fikiran untuk menunjukkan kuasa politiknya sehingga menyebabkan kerajaan Selangor menjadi carca marba," kata Noh.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini, sekali lagi menegaskan kerajaan negeri tidak akan mengadakan pilihan raya lebih awal meskipun menerima desakan daripada DAP.

Beliau sebaliknya akan mengemukakan surat rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pertemuan bagi mendapatkan maklumat berhubung asas usul persempadanan semula kawasan pilihan raya dibuat.

SPR melaksanakan Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan DUN bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah bermula 15 Sept lepas.

Kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu. -BERNAMA