Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh menganggap dirinya masih Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee.

Tegas Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras itu, ia jelas terbukti dari Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu yang memperuntukkan perkara berkenaan.

Jelasnya, peruntukan itu jelas menetapkan jika pengerusi berhenti atau diberhentikan, maka presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih pengerusi baharu mengikut Fasal 13.3 dan ia mempunyai kuasa mengikut Fasal 16.2.

"Tiada peruntukan yang membolehkan seorang penjawat yang telah meletak jawatan untuk kembali memegang jawatan itu kecuali dia bertanding dan dipilih semula.

"Memandangkan Dr Mahathir telah meletakkan jawatan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka beliau tidak boleh dikembalikan sebagai pengerusi sehingga selepas Persidangan Bahagian dan pemilihan diadakan.

"Memandangkan PKP dan arahan Pendaftar Pertubuhan untuk menggantung semua aktiviti pertubuhan sehingga selepas 30 Jun, maka penyokong-penyokong Dr Mahathir tidak boleh mendakwa dia adalah Pengerusi sah Bersatu buat masa ini," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Khamis.

Sebelum ini, dilaporkan berlaku perdebatan undang-undang di antara peguam Dr Mahathir, Haniff Khatri dan peguam Rosli Dahlan yang bertajuk 'Analisa perundangan berhubung isu pucuk pimpinan Bersatu.'

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Tan Sri Syed Hamid Albar sebelum ini mengesahkan Dr Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu selepas menang tanpa bertanding pemilihan parti itu.

Tegas Syed Hamid, pihaknya sudah memuat naik senarai calon yang layak bertanding pada pemilihan parti dan bekas perdana menteri itu tidak dicabar untuk jawatan berkenaan selepas proses penamaan calon bertanding untuk pemilihan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) ditutup baru-baru ini.

Dalam pada itu Syed Ali menjelaskan, walaupun Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin masih sangat sayang dan hormat kepada Dr Mahathir dan mahu mengembalikan beliau ke kedudukan asal demi perpaduan parti, namun peruntukan Fasal 16.9 tidak membolehkan perkara berkenaan.

Dalam satu kenyataan akhir Februari lalu, Muhyiddin berkata, beliau memangku jawatan Pengerusi Bersatu susulan keputusan Dr Mahathir berundur daripada jawatan itu pada 24 Februari.

Sementara itu, laman web parti berkenaan memuatnaik senarai terkini mereka yang layak bertanding termasuklah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mencabar Muhyiddin untuk jawatan presiden.