BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semakin ramai orang sudah hilang keyakinan kepada pembangkang terutama Parti Bersatu selepas beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) menyatakan pendirian menyokong kerajaan.

Mengulas kenyataan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencabar Kerajaan Persekutuan untuk mengisytihar enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri dikosongkan, Anwar berkata perkara itu terpulang kepada Ahli Parlimen serta ADUN terbabit.

"Orang sudah hilang keyakinan kepada Bersatu terutamanya," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

ADUN yang terbabit pula ialah Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang).