Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor, kini sah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut bekas Senator itu, beliau yakin PPBM mampu membawa impak besar dalam perjuangan melawan rasuah di negara ini.

Beliau berpendapat PPBM merupakan parti yang paling fokus melawan rasuah khususnya dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International.

"Saya pilih PPBM kerana pada ketika ini PPBM saya lihat sebagai parti yang paling fokus melawan rasuah khususnya isu 1MDB dan SRC.

"Pada saya ini merupakan isu paling kritikal dalam menentukan masa depan negara dan perlu penyelesaian segera," katanya dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI.

Mohamad Ezam, 49, berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan penyertaannya ke dalam parti itu.

"Saya bertemu Dr Mahathir pada Selasa dan menyerahkan borang keahlian kepada Muhyiddin pagi semalam (Rabu)," kata bekas pemimpin PKR itu.

Biarpun sebelum ini dilihat sering menentang Dr Mahathir, beliau menegaskan, negarawan itu mengakui sistem dan budaya lama perlu diubah.

"Komitmen beliau amat jelas kepada reform sekarang dan saya sedia lupakan kisah lalu kerana yang lebih penting soal masa depan negara," ujarnya.

Beliau sebelum ini lantang menentang pentadbiran Dr Mahathir sejak era reformasi pada 1998 selepas mentornya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipecat sebagai timbalan perdana menteri.

Orang kanan Anwar itu meninggalkan PKR dan menyertai UMNO pada Mei 2008 untuk bersama-sama berkempen menentang pembangkang.

Namun, baru-baru ini beliau memilih untuk keluar UMNO dengan alasan parti itu tidak lagi serius dalam perjuangan menentang rasuah.

Katanya, keputusan berkenaan dibuat bagi mempertahankan prinsip perjuangannya sekaligus melakukan perubahan di negara ini.

Beliau pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Anwar ketika pemimpin pembangkang terbabit berada dalam kerajaan.

Ekoran penyingkiran Anwar, Mohamad Ezam menyertai gelombang reformasi dan pernah menjadi Ketua Pemuda PKR antara 1999 dan 2005.

Beliau yang selalu dikenang dengan kisah memiliki kotak-kotak berisi rahsia kerajaan menyertai UMNO sebagai ahli seumur hidup ketika parti itu dipimpin Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun, kira-kira setahun kemudian, Ezam menafikan memiliki kotak rahsia berkenaan.

Mohamad Ezam kemudian dilantik sebagai anggota Dewan Negara pada Mei 2010 selain dilantik sebagai Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan pada 2014 di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.