Parti politik baharu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan membawa agenda menjaga kepentingan umat Islam dan kaum Melayu di samping mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Penubuhan parti yang menggunakan lambang 'tanjak' itu diumumkan presiden penajanya, Datuk Ibrahim Ali pada sidang media di sini hari ini.

"Parti ini ditubuhkan setelah saya menerima banyak permintaan daripada pelbagai pihak yang kurang senang dengan situasi politik sekarang.

"Kami berharap ia akan menjadi alternatif buat orang Islam di negara ini," katanya.

Beliau berkata pihaknya kini menunggu maklum balas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan susulan permohonan pendaftaran yang dikemukakan pada 13 Ogos lalu.

Selain Ibrahim yang merupakan bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Putra turut diterajui bekas anggota Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Khalid Yunus yang bertindak sebagai timbalan presiden.

Ibrahim berkata kedudukannya sebagai presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa akan ditentukan pada perhimpunan agung kumpulan pendesak itu pada Oktober depan. -- Bernama