Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Gerakan mencadangkan penubuhan satu badan dana bebas dan telus bagi mengurus semua kemasukan dana untuk mana-mana parti politik.

Ia merupakan antara cadangan yang terkandung dalam memorandum yang akan dihantar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low pada minggu hadapan.

Menurut pengerusi Jawatankuasa Kajian Undang-Undang Pembiayaan Politik Parti Gerakan, Datuk Dr Lim Thuang Seng, memorandum bertujuan menyokong usaha penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Pembiayaan Politik, JKNMPP.

"Satu objektif yang paling utama menambahbaik Undang-Undang Pembiayaan Politik ialah bagi mengelakkan campur tangan luar negara dalam dalam pentas politik tempatan.

"Parti Gerakan mencadangkan agar sebuah badan bebas dan telus bagi mengurus dana pilihan raya ditubuhkan dan diurus oleh badan mengurus dana politik bebas yang akan melapor kepada Parlimen, dan ini dapat mengurangkan keperluan kepada mengumpul dana bagi tujuan kempen," katanya pada sidang media anjuran Gerakan di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Tambahnya penguatkuasaan Undang-Undang Pembiayaan Dana Politik perlu dikuatkuasakan bersama Undang-Undang Anti Rasuah dan Undang-Undang Konflik Berkepentingan.

Parti itu turut menggesa agar undang-undang pembiayaan politik perlu disokong dengan beberapa lagi undang-undang lain bagi mengukuhkan lagi pelaksanaan oleh JKNMPP oleh kerajaan.

Gerakan turut mencadangkan beberapa perkara lain seperti memastikan setiap parti dan calon bertanding perlu melaporkan setiap sumber dan jumlah kewangan yang diperoleh bagi kegunaan pada pilihan raya.

Ahli parlimen, Senator dan Ahli Dewan Undangan Negeri perlu mengisytihar harta mereka setiap tahun, meletakkan had perbelanjaan berkempen dan menyekat mana-mana Syarikat Berkaitan Kerajaan - GLC dari menyumbang kepada parti atau calon kecuali sumbangan kepada pusat dana pilihan raya.

Sementara itu Lim turut menyatakan Gerakan turut mencadangkan agar parti-parti yang bertanding diberi kebenaran membuat publisiti parti di tv dan radio sepanjang tempoh berkempen.

"Kita ada buat kajian sebelum buat memorandum ini, kita ada buat kajian berdasarkan pilihan raya di negara-negara membangun lain.

"Sebenarnya kita ada rangkaian tv yang dikuasai oleh kerajaan jadi dengan penambahbaikan dalam pelan oleh JKNMPP, saya yakin ini boleh dibuat dengan memberikan waktu siaran kepada semua parti politik yang terlibat dalam pilihan raya," katanya.

Katanya lagi, tempoh berkempen di televisyen dan radio itu masih boleh dibincangkan dan telah disertakan dalam memorandum yang bakal diserahkan kepada Jabatan Perdana Menteri minggu hadapan.