KUALA LUMPUR : Humanitarian Care Malaysia (MyCare) berharap kepercayaan dan komitmen masyarakat untuk membantu masyarakat yang terjejas khususnya di Palestin, tidak terhakis susulan laporan melibatkan tiga pemimpin badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang disenaraikan dalam Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC) Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Pengerusinya, Datuk Seri Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, MyCare juga bersedia untuk menjalankan pengauditan bagi memastikan ketelusan dalam pengurusan dana kutipan derma.

Jelas beliau, setiap NGO yang menguruskan bantuan perlu mengikut peraturan dan syarat-syarat yang ditetapkan, agar ia tidak menjejaskan usaha murni dalam membantu mangsa yang terkesan di seluruh dunia.

“Jadi kami di MyCare, kita akan pastikan kami diaudit.

“Sentiasa kami sebut, setiap sen yang dikutip itu mesti diaudit dan proses penyampaian bantuan kepada penerima di seluruh tempat di seluruh dunia, sama ada di Palestin, Turki ataupun Myanmar dan tempat tempat lain, mesti mengikut garis panduan dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Jadi itu kita ikut (peraturan),” katanya kepada pemberita selepas forum “Gaza Inspired Family” sempena Program Bina Semula Gaza (BSG) di sebuah hotel sini pada Ahad.

Hadir sama Pengerusi Surau Pusat An-Nur Country Heights (Spanch), Jamaludin Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan berhubung tiga pemimpin daripada NGO Islam berasingan dari Malaysia yang aktif dalam menguruskan bantuan ke Asia Barat, disenaraikan dalam TSC FBI.

Dalam surat yang ditularkan, mereka yang disenaraikan adalah Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Sufian Awang Piut; Pengasas Persatuan Cinta Syria Malaysia, Ahmad Musa Al Nuwayri Kamaruzaman; serta Setiausaha Agung Dunia Melayu Dunia Islam, Abu Bakar Abdul.

Mengulas lanjut, Kamal Nasharuddin berkata beliau terkejut dengan penularan surat berkenaan memandangkan kebanyakan daripada NGO disifatkan sebagai bekerja keras dalam aspek bantuan kemanusiaan.

“Kami berpandangan bahawa pihak berwajib tentunya akan lakukan penyiasatan dan kami serahkan kepada pihak berwajib untuk menentukan kebenaran atau sebaliknya,” ujar beliau.

Dalam masa sama, beliau berkata sejak perang tercetus antara Israel dan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu, MyCare menyalurkan hampir RM7 juta kepada rakyat Gaza.

Sementara itu, mengenai kutipan program BSG, Kamal Nasharuddin berkata MyCare bersama Spanch menyasarkan kutipan RM1 juta sehingga hujung tahun ini berbanding sasaran asal RM500,000 pada Mei.

Beliau menambah, kutipan sumbangan akan disalurkan bagi menyusun semula strategi hala tuju pembinaan semula pasca perang di Gaza termasuk membaiki rumah, bina semula pendidikan serta rehabilitasi.