Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, hari ini dipecat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai ahli seumur hidup berkuatkuasa serta merta.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata, keputusan itu telah dibuat pada
Mesyuarat Pimpinan Pusat (MPP) selepas meneliti dan mengadakan siasatan berkenaan kes disiplin dan tatatertib terhadap Abdul Khalid.

"Dengan pemecatan itu, Abdul Khalid kini menjadi ADUN Bebas walaupun kekal sebagai Menteri Besar Selangor," kata Tan semasa satu sidang media di Ibu Pejabat Keadilan, di sini.

Tan menjelaskan bahawa Abdul Khalid didapati mengingkari keputusan MPP yang bermesyuarat pada 21 Julai yang sebulat suara memilih Presiden PKR Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Beliau membuat kenyataan media pada 22 Julai 2014 yang menyatakan keengganan beliau meletakkan jawatan menteri besar dan sehingga hari ini beliau terus enggan melepaskan jawatannya.

"Atas alasan ini sahaja pun, Lembaga Disiplin berpendapat beliau wajar dipecat," kata Tan.

Menurut Tan, MPP turut mengambil maklum bahawa Abdul Khalid ingkar terhadap keputusan yang dicapai oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat (PR) yang turut dihadiri Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangguhkan proses dan perbincangan mengenai projek Langat 2; dan menangguhkan kenaikan elaun speaker, menteri besar, Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor.

"Beliau turut gagal mematuhi keputusan Majlis Presiden PR yang dipersetujui sendiri oleh beliau untuk melibatkan Jawatankuasa Penstrukturan Air Selangor dalam isu penstrukturan aset air Selangor.

"Beliau turut berkeras untuk meneruskan projek Lebuhraya Kidex walaupun parti sudah mengarahkan beliau untuk mengkaji semula projek tersebut kerana ia bertentangan dengan matlamat dan manifesto PR yang dibentangkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

"Beliau turut gagal memberikan penjelasan sepenuhnya kepada MPP mengenai isu pelupusan hutang beliau dengan Bank Islam bernilai hampir RM70 juta," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata tindakan Abdul Khalid adalah pengingkaran secara terbuka.

"Pertimbangan yang dihalusi, diteliti dan diambil kira ialah 'open defiance' terhadap parti dan PKR," katanya.

Apabila ditanya mengapa pendengaran penjelasan Abdul Khalid tidak ditangguhkan ke 15 Ogos seperti permintaannya, ahli MPP R.Sivarasah berkata penangguhan kes ini tidak perlu dan tidak relevan.

Ekoran pemecatan ini, Abdul Khalid mempunyai tempoh 14 hari untuk merayu keputusan MPP.

Pagi ini, Abdul Khalid menghantar notis peringatan kepada Lembaga Disiplin PKR untuk membantah perbincangan atas kesnya oleh mesyuarat MPP, namun perbincangan diteruskan seperti yang dirancang.