Paluan gendang kempen sudah bermula.

Rata-rata parti bertanding mula melancarkan 'perang' politik masing-masing yang ada kalanya boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan penyokong.

Namun suasana itu tidak berlaku di Pulau Kambing, Kuala Terengganu apabila tiga markas berlainan parti dibina sebelah menyebelah.

Penyokong setiap markas parti bukan sahaja boleh bergaul mesra antara satu sama lain, malah saling bantu memasang bendera di markas lawan biarpun berlainan ideologi politik.

Nyata amalan politik matang yang ditunjukkan mereka sangat berbeza berbanding di tempat lain.

“Kita kat sini memang selalu macam ni lah dari dulu.Tiada masalah bagi kami walaupun sokong parti lain-lain. Kami masih lagi boleh bantu markas berlainan parti yang dibina sebelah sahaja.

"Kami boleh lagi makan bersama, malah kalau ada bendera parti lain jatuh, kami akan angkat dan pasang balik walaupun bendera parti lawan,” kata Mohd Shahril Jafaruddin.

Seorang lagi penduduk, Mohd Zahari Mohd Nor berkata orang kampung Pulau Kambing akan memastikan hubungan akrab seperti biasa biarpun ketika musim pilihan raya. Malah kalangan mereka akan menegur jika ada individu yang bertindak melampau.

“Kami di sini tiada istilah politik bergaduh, dan kami akan pantau jika ada mana-mana individu yang melampau dan kami akan nasihatkan mereka.

"Sini lain sikit, tak seperti di kawasan lain yang mungkin sampai ada yang tidak bertegur siapa.Tapi orang sini sejak dahulu memang mengamalkan politik matang.”

Bagi Mohd Rizal Abdul Mubin, suasana meriah yang hadir lima tahun sekali ini sepatutnya digunakan untuk membuktikan bahawa musim pilihan raya dapat mengeratkan lagi silaturahim.

“Musim seperti ini macam pestalah, meriah. Apatah lagi jika kita saling bantu membantu dan bergaul seperti biasa.

"Malah hubungan orang kampung lebih erat ketika musim pilihan raya dan kami tidak ada masalah bantu penyokong parti berbeza jika ada yang minta pertolongan,” katanya.