Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima secara terbuka teguran mana-mana pihak yang mempertikai kemampuan beliau untuk memimpin parti selepas mengambil alih jawatan Presiden daripada isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Malah katanya, teguran itu memberi semangat kepadanya untuk terus pulih daripada masalah sakit bahu yang dialaminya.

“Ya, yang sakitnya bahu sikit, ada yang sakit otak, jantung, buah pinggang, namun tidak apa, itu satu teguran yang membina. Ingatan kepada saya supaya rajin buat kerja,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Jelasnya lagi, beliau kini sudah hampir pulih sepenuhnya.

BACA: Tak perlu tergesa-gesa lantik saya jadi PM - Anwar

“Pembedahan kecil baru-baru ini hampir 100 peratus pulih. Titanium diletakkan di bahu, jadi untuk makan umpamanya boleh. Nak angkat tangan untuk reformasi setakat ini, tangan kiri boleh. Jadi kita tak kesah sangat teguran itu,” katanya lagi.

Mengenai pemilihan PKR, Anwar mengingatkan anggota parti yang bertanding agar tidak menyalahguna kuasa dan melakukan rasuah.

“Sekarang ini berbeza dari dulu. Maknanya baik Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Exco tidak boleh menggunakan kedudukan mereka untuk pujuk ahli meraih undi. Kebimbangan itu didengar, dan saya bertegas ini mesti dihentikan,” ujar beliau.

Malah, beliau mahu usaha mengutuk peribadi mana-mana tokoh perlu dihentikan.

Dalam pada itu, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan mana-mana individu yang bertanding pada pemilihan parti agar tidak melakukan serangan peribadi untuk menang.

“Kita mahu proses pemilihan ini tidak ada selar menyelar, jatuh menjatuhkan individu atau personal attack. Kita mahukan satu pemilihan yang membawa model sebagai parti yang ada prinsip perjuangan,” katanya.

Beliau pada masa sama mahu mereka yang bertanding akan membawa nilai-nilai murni dan pastikan peralihan ini berjalan baik dan lancar.